What a Great Mom!!

Aku nak kongsi sikit mengenai cara seorang ibu bekerjaya yang bersemangat kental dalam memberikan anaknya susu ibu secara exklusif! Memang sangat kagum dengan apa yang telah dilakukan dan ianya patut dijadikan teladan buat semua ibu-ibu bagi mencontohi apa yang dilakukan. Dia telah berjaya membuktikan bahawa bekerjaya bukanlah halangan besar bagi menyusukan anak secara penuh tanpa sedikitpun keluhan.

Tak tahulah samada dapat mengikuti apa yang dilakukannya dan berharap ianya tidak berkubur ditengah jalan. Walaubagaimanapun sedikit sebanyak cerita ini dapat memberi sedikit inspirasi di dalam cabaran ini akan datang.

Aku ambik artikel ni dalam majalah Pa&Ma August 2008 & September 2008 sebagai panduan untuk aku dan aku kongsikan bersama rakan-rakan dalam blog ni. Mungkin ada yang tak baca artikel ini pada masa itu atau mungkin ada yang terlepas pandang artikel tersebut. Maka kat sini, aku menyalin semula artikel tersebut dan kepada Pa&Ma terima kasih kerana siarkan artikel yang mampu membuka hati aku untuk cuba melakukan kaedah yang sama.

Pa&Ma August 2008 and September 2008


"Kumpul 260 Botol Susu Ibu Dalam 2 Bulan" - August 2008

Ramai ibu merungut susu tidak cukup untuk keperluan bayi padahal baru sahaja selesai berpantang. Tetapi tidak pula bagi Nor'Ain. Walaupun sibuk dengan tuntutan tugas sebagai seorang doktor, dia seboleh-bolehnya berusaha gigih demi menjayakan penyusuan ekslusif. Kongsi pengalamannya bersama INTAN JASTINA JAMALUDDIN.

Bertuah sungguh anak-anak Nor'Ain, Muhammad Nazmi Muzaffar dan Nur Hannah Lyana, kerana ibu mereka hanya menginginkan yang terbaik buat putera dan puteri kesayangan. Kedua-duanya berpeluang menikmati khasiat susu ibu yang sememangnya terbaik untuk perkembangan diri masing-masing.

Menyedari kebaikan yang terkandung dalam susu ibu, graduan ijazah perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia ini, bertekad mahu menyusukan anak-anaknya secara eksklusif sejak mereka belum lahir lagi. Apatah lagi, sokongan daripada suami menguatkan lagi keazaman ibu muda ini. "Kesedaran yang wujud dalam diri saya banyak diperoleh melalui pendedahan persekitaran perubatan yang saya lalui selama ini. Sejak dari zaman belajar lagi, saya terdedah dengan keistimewaan susu ibu untuk bayi. Kelebihan yang ada padanya diakui lebih banyak berbanding susu formula. Jadi, mengapa saya mesti menidakkan khasiat susu ibu. Malah sebelum Hannah lahir lagi, saya menjadi pelanggan setia Pa&Ma.

Melalui majalah Pa&Ma, saya mula mendekatkan diri dengan topik-topik berkaitan laktasi. Lebih menguatkan semangat apabila suami yang sama-sama bertugas dalam bidang perubatan sangat menyokong dan banyak membantu saya mengharungi cabaran menyusukan anak. Dia pun sependapat dengan saya dan mahu anak-anak kami menerima khasiat susu badan sepenuhnya."

Rahsia susu banyak

Banyaknya... ltulah yang terlintas di fikiran penulis tatkala Nor'Ain menunjukkan peti aisnya yang dipenuhi dengan susunan botol perahan susu ibu. Terdetik perasaan cemburu melihat kesungguhan ibu muda ini dalam merealisasikan impiannya menyusukan anak secara eksklusif. Tanpa berlengah, penulis mula mencungkil rahsianya yang mampu mengumpul sehingga 260 botol susu perahan dalam masa dua bulan sahaja. "Sebagai seorang Muslim, saya sentiasa berdoa memohon agar niat murni saya dipermudahkan. Alhamdulillah, susu saya banyak walaupun tidak mengambil apa-apa suplemen untuk memperbanyakkan susu. Apa yang dapat saya kongsikan ialah setiap kali sebelum menyusu, saya akan minum air kosong dalam jumlah yang banyak."

"Menyentuh soal makan pula, saya lebih banyak makan daripada biasa. Saya makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Pada masa yang sama, seboleh-bolehnya saya elakkan makanan yang mengandungi MSG terutamanya makanan segera. Dan seperti yang diperkatakan oleh kebanyakan orang, saya makan kurma dalam jumlah banyak dengan harapan dapat merangsang penghasilan susu. Setakat ini, Alhamdulillah semua usaha yang saya lakukan nampaknya membuahkan hasil"

Membongkar rahsianya lagi, Nor'Ain memberitahu, "Semasa berpantang, Nazmi menyusu sejam sekali dan setiap dua atau tiga jam, saya akan pam. Ini adalah salah satu daripada untuk merangsang penghasilan susu. Walaupun Nazmi sudah selesai menyusu, saya akan terus pam untuk mengosongkan payu dara. Ini dapat saya pastikan dengan keluarnya titisan susu yang perlahan dan sangat sedikit. Bila susu tidak lagi memancut sebagaimana waktu let-down reflex terjadi, barulah saya berhenti pam. Berdasarkan pengetahuan yang saya kumpul, saya sedar apabila payu dara kosong, rangsangan untuk hasilkan lebih banyak susu akan lebih berkesan."

Cabaran ibu berkerjaya

Selain daripada itu, Nor'Ain melakukan amalan menyusu Nazmi dan mengepam pada waktu yang sama. Jelasnya, "Sebelah Nazmi menyusu, sebelah lagi saya pam. Lagipun, saya jarang pam tanpa Nazmi ada bersama untuk menyusu badan. Kalau dia memang kenyang barulah saya double pumping bersendirian. Bagi saya, tiada perangsang yang lebih baik melainkan bayi itu sendiri."

Nor'Ain bercadang mahu menyusukan putera kesayangannya itu sehingga mencecah usia dua tahun atau semaksimum yang mungkin. Tambahnya lagi, "Masa menyusukan Hannah dulu saya ambil cuti khas menyusukan anak selama tiga bulan selepas habis cuti berpantang. Malangnya bila tiba giliran Nazmi, saya tidak dapat bercuti lama kerana kepentingan tugas. Kekurangan nisbah doktor berbanding pesakit di jabatan saya bertugas menyukarkan permohonan cuti saya diluluskan."


"Komited, Rahsia Berjaya" - September 2008

Selepas habis cuti berpantang, dugaan pertama yang perlu ditempuh Nor'Ain ialah dia tidak dapat memohon cuti khas menyusukan anak kerana desakan tugas yang memerlukan dia mengutamakan para pesakit. Biar pun begitu, Nor'Ain redha kerana dia yakin mampu mengumpul stok perahan susu ibu untuk Nazmi sepanjang ketiadaannya di sisi.

Bimbangkan Nazmi tidak cukup susu kalau ada panggilan on call, kes kecemasan ataupun bertugas lebih masa, saya tekad untuk kumpul susu perahan sebanyak mungkin. Malah, sekarang ini pun, saya tidak sempat pam sewaktu bertugas kerana kesibukan kerja terutamanya bila berhadapan dengan pesakit yang ramai di klinik. Ada ketikanya, saya terpaksa pam selepas pulang bekerja iaitu dalam jam 5 ke atas.

Untuk mengelakkan masalah kekurangan susu, saya akan pam sebelum masuk kerja. Saya pernah bangun jam 3 atau 4 pagi semata-mata untuk pam. Saya tahu, keheningan pagi adalah masa yang sesuai untuk mengumpul susu sebab waktu itu susu paling banyak dihasilkan. Sekali pam saya berjaya dapat dua hingga tiga botol dalam masa 30 hingga 45 minit tetapi kalau saya pam dan menyusukan Nazmi sekali gus, saya boleh dapat sehingga tiga setengah botol dalam masa kurang 30 minit.

Habis waktu kerja, saya akan pam dan menyusukan Nazmi pada waktu yang sama. Selepas itu, saya akan buat rutin seperti yang saya lakukan masa berpantang dulu. Saya akan pam setiap dua hingga tiga jam.

Namun, rutin biasa yang diamalkan oleh Nor'Ain mula berubah setelah dia berjaya melanjutkan pengajiannya dalam ijazah sarjana perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Sekarang, saya bekerja sambil belajar dan pada masa yang sama masih menyusukan Nazmi sepenuhnya. Memang mencabar sebab sekarang rutin perahan ditukar ke waktu petang sebelum balik ke rumah, kira-kira pukul 4 petang atau setibanya saya di rumah, dalam pukul 6 petang ke atas. Alhamdulillah, hyperstimulation yang saya lakukan sejak Nazmi berumur sebulan masih berkesan sehingga ke hari ini. Jadi, saya masih berupaya menggantikan semula susu yang telah Nazmi minum sepanjang ketiadaan saya di rumah."

Bagaimanapun, Nor'Ain tidak menggalakkan ibu-ibu lain untuk mengikuti rutin yang diamalkannya ini. Hal ini katanya, akan memudahkan susu ibu berkurangan akibat tiada lagi kekerapan penyusuan terus.

Pernah kecewa

Sebelum berjaya memenuhi impian, cabaran pasti terlepas daripada pandangan. Dalam usaha untuk menyusukan anak-anaknya banyak cabaran yang perlu Nor'Ain tempuh. Namun, semuanya dilalui dengan tabah asalkan matlamat utamanya mencapai kejayaan.

"Dahulu Hannah cuma sempat menyusu secara eksklusif selama lima bulan sahaja. Walau bagaimanapun, dia terus menyusu badan selama dua tahun. Dalam kebanyakan masa dia memang menyusu badan. Selepas habis bercuti, saya hantar Hannah ke taska dan kemudiannya ke rumah pengasuh. Waktu itu, stok susu perahan tidak banyak. Jadi, Hannah terpaksa menyusu berselang-seli dengan susu formula. Memang kecewa sangat.

"Stok susu kurang sebab saya hanya pam enam kali sahaja dalam sehari. Seoptimumnya lapan kali. Lagi pun masa itu saya belum tahu tip yang memerlukan saya menyusu terus dan pam minimum lapan kali sehari. Selain itu, aspek pengasuh kurang mahir untuk berikan susu perahan pada Hannah menambahkan lagi kekecewaan saya. Saya sedih bila dia menganggap Hannah menolak susu perahan yang diberi dalam botol. Namun keadaan sebaliknya berlaku bila saya sendiri yang berikan susu perahan pada Hannah."

Biarpun ketika itu, Nor'Ain begitu kecewa kerana Hannah terpaksa diberi susu formula, dia sebenarnya rela dalam paksa. Menurut Nor'Ain, sejak saat itu dia mula menanam hasrat untuk memastikan stok susu perahannya mencukupi untuk adik-adik Hannah yang seterusnya. Dan kini, inilah hasilnya. Dia berjaya merangsang penghasilan susu badannya bagi membolehkan adik Hannah, Nazmi menyusu susu ibu walaupun Nor'Ain kini sibuk bekerja sambil belajar.

Sehingga kini, Nor'Ain masih berjaya mengumpul stok susu yang banyak iaitu 255 botol! Dahulu stok susu perahannya perlu disimpan di dalam tiga peti ais berasingan tetapi kini kesemuanya ditempatkan di dalam sebuah peti ais berbentuk laci.

"Sekarang, Nazmi sudah satu tahun dua bulan. Walaupun sibuk, saya seboleh-bolehnya akan memastikan Nazmi dapat menyusu sepenuhnya sehingga minimum dua tahun kerana tiada apa yang lebih membahagiakan selain daripada kesihatan anak yang baik dan terjaga. Buat masa ini stok susu saya cukup untuk masa enam bulan seterusnya. Apa yang harus saya lakukan sekarang ialah terus memastikan susu yang telah diminum diganti semula supaya bekalan ini cukup untuk memenuhi keperluannya."

Penulis tertanya-tanya mengapa Nor'Ain tidak menambah stok perahannya melebihi 250 botol lalu dijawab, "Sejujurnya, saya boleh menyimpan lebih daripada apa yang saya ada sekarang tetapi faktor pembaziran ruang, wang dan susu yang tidak berkualiti. Aspek ini harus saya fikirkan. Oleh kerana keburukan melebihi kebaikan maka saya tidak berhasrat menyimpan lebih daripada jumlah yang ada sekarang."


0 Response to "What a Great Mom!!"

Post a Comment

powered by Blogger | WordPress by Newwpthemes | Converted by BloggerTheme